Saturday, September 6, 2008

LOGO DAN TEMA HARI KEMERDEKAAN 1980-1984

1980
BERDISIPLIN BERBAKTI
Logo ini melambangkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan bangsa yang berdisiplin berpandukan Rukunnegara (bentuk lima segi) dalam mencapai kesejahteraan hidup hari-hari. Bulatan-bulatan yang melindungi di tengah-tengah itu adalah kumpulan-kumpulan berbilang bangsa yang sentiasa bersedia berbakti kepada Raja dan Negara. Bulatan Besar yang melingkumi segala bentuk yang ada itu melambangkan 'bulat manusia kerana muafakat'. Bentuk bulat itu juga menegaskan lagi keutuhan hidup berdisiplin.
1981

BERDISIPLIN BERHARMONI

Logo Hari Kebangsaan 1981 ini melambangkan kejayaan dan kemajuan yang telah dicapai oleh negara kita selama 24 tahun iaitu sejak mencapai kemerdekaan dahulu. Bentuk yang merupakan tiga orang di sebelah bawah logo melambangkan masyarakat berbilang bangsa yang sentiasa berganding bahu berusaha menampung dan menuju mercu kejayaan dan kemajuan melalui lima tiang yang mencerminkan garis panduan hidup berdasarkan prinsip Rukunnegara. Bulatan-bulatan yang di sebelah atas melambangkan kejayaan dan kemajuan yang berunsurkan politik, ekonomi dan kemasyarakatan

1982
BERDISIPLIN GIAT MAJU
Logo tahun ini berbentuk bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan. Daripada segi ciri-ciri bunga tersebut ia dapat melambangkan ketahanan yang tetap segar seperti yang telah dibuktikan oleh bunga itu sendiri. Warna-warna yang digunakan adalah warna yang terdapat pada bendera Malaysia. Lima kelopak bunga tersebut boleh diertikan sebagai lima prinsip Rukunnegara yang membentuk keutuhan negara. Bulatan yang kelihatan menunjukkan keharmonian perpaduan dan kesempurnaan. Seperti digambarkan warna biru pada angka 25 melambangkan cinta rakyat terhadap negara dan percantuman 25 itu dapatlah melambangkan perpaduan, liku hidup dan pembangunan yang telah dialami oleh negara dalam bidang pembangunan dan kestabilan negara bagi mencapai 25 tahun merdeka dan terus berkembang untuk 25 tahun dan seterusnya pada masa hadapan.
1983
BERSAMA KE ARAH KEMAJUAN
Logo Hari Kebangsaan 1983 ini merupakan anak panah yang memberikan gambaran menuju ke satu arah tertentu, iaitu matlamat kemajuan. Logo ini melambangkan perpaduan dan kerjasama yang erat antara beberapa golongan rakyat dalam berbagai-bagai bidang. Ini digambarkan melalui tiga simbol empat segi yang terjalin antara satu dengan lain yang di dalamnya mengandungi bulatan-bulatan yang menggambarkan kelompok-kelompok golongan yang terdiri daripada usahawan-usahawan persendirian, golongan swasta dan golongan pentadbiran awam. Ketiga-tiga golongan ini bergiat untuk membangunkan negara ke arah kemajuan dan didukungi oleh satu petak tiga segi yang melambangkan sokongan pihak Kerajaan terhadap usaha bekerjasama bagi mencapai aspirasi negara.
1984

AMANAH ASAS KEJAYAAN

Logo Hari Kebangsaan bagi tahun 1984 melambangkan tema 'AMANAH ASAS KEIAYAAN'. Bulatan putih di tengah-tengah logo mencerminkan kesucian, kesempurnaan dan keutuhan yang menjadi intisari kepada sifat amanah. Bulatan biru yang dikelilingi oleh rajah kuning biru berbentuk lima segi melambangkan hidup muafakat di antara rakyat berbilang kaum di dalam negara yang berdaulat berserta kerjasama yang erat antara sektor awam dengan swasta yang akan membawa kejayaan di berbagai-bagai aspek. Manakala lima bentuk merah yang menyerupai anak panah menunjukkan apa-apa yang kita usahakan telah menuju kejayaan dengan pancaran anak panah yang bermula dari bulatan putih sebagai asas amanah serta juga daripada aspek-aspek lain.

No comments: