Saturday, September 6, 2008

TEMA DAN LOGO HARI KEMMERDEKAAN 1976-1979

1976
KETAHANAN RAKYAT
Lima lembaga manusia melambangkan lapisan rakyat yang berganding bahu membentuk satu tujuan dan cita-cita kemakmuran dan keselamatan negara. Tema "KETAHANAN RAKYAT" ditulis melengkung di atas menjadikan rekabentuk ini bulat dan bertangkup melambangkan keteguhan negara. Rekabentuk ini juga berupa rebana ubi menggambarkan satu masyarakat yang berkebudayaan. Bulatan tadi membendung perkataan '31 Ogos' sebagai Hari Kebangsaan. Lima lembaga manusia juga mencerminkan lima prinsip Rukunnegara yang menjadi landasan kepada matlamat negara. Warna yang digunakan ialah warna-warna daripada bendera Malaysia.

1977
BERSATU MAJU
Logo ini bertema "20 TAHUN BERSATU MAJU". Ia mempunyai lima bahagian yang naik meruncing menuju ke atas sebagai tanda kemajuan dan semua bahagian ini semakin rapat untuk membayangkan hasrat rakyat untuk bersatu. Lima bahagian atau tiang yang ada melambangkan lima prinsip Rukunnegara dengan yang di tengah-tengah sekali (yang paling tinggi) menandakan prinsip pertama, yakni kepercayaan kepada Tuhan. Tiang-tiang lain yang rupa dan bentuk asalnya diambil daripada bentuk hadapan perahu melambangkan empat prinsip rukunegara yang lain, sementara bentuk hadapan perahu dipilih sebagai menandakan teras kebudayaan Nasional yang berasaskan kepada apa yang benar-benar timbul dari bumi negara ini. Bulatan yang mengandungi nombor 20 atau rupa bentuk unsur-unsur kebudayaan itu menandakan 20 tahum selepas merdeka. Empat tiang diperbuat drp.timah bagi menandakan kemajuan perdagangan dan perindustrian negara ini, sementara tiang yang paling tinggi diperbuat daripada kayu belian bagi menandakan keteguhan bumi Malaysia. Di kelilingnya pula terdapat sebuah kolam dengan airnya berwarna biru laut bagi menandakan kekayaan hasil laut dan kemajuan para nelayan yang dialami sejak merdeka. Sementarajejambat kecil yang menyerupai petak-petak melintasi kolam membayangkan betapa teguh dan sistematiknya ekonomi pertanian negara ini. Jadi jelaslah bahawa logo tersebut merangkumi kemajuan segenap sektor kehidupan iaitu lahiriah (Pertanian danPerindustrian) dan batiniah.

1978
KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN
Selaras dengan tema Hari Kebangsaan 1978 iaitu, "KEBUDAYAAN SENDI PERPADUAN", logo ini menggambarkan bulan sabit serta bintang berwarna kuning yang diambil daripada sebahagian daripada lambang bendera Malaysia dan memberikan makna sebuah negara (Malaysia). Di dalam bulatan bulan dan bintang itu terdapat suatu bulatan lagi dalam bentuk ukiran berwarna biru yang mencerminkan kesenian negara dan diikuti pula dengan bentuk kepala dan badan berwarna biru seolah-olah bersendi dan bercantum yang mendedahkan perpaduan rakyat. Bulatan yang terakhir pada logo ini memberikan gambar rebana ubi berwarna merah/kuning yang melambangkan kebudayaan dan ditengah-tengah sekali kelihatan angka 'XXI' yang memberikan erti 21tahum merdeka. Ringkasnya logo tahun ini memberikan penerangan babawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengandungi rakyat berbilang keturunan dan mempusakai berbagai-bagai kesenian dan kebudayaan dan di samping itu berjaya menaungi serta memupuk rakyatnya hidup bersatupadu.
1979
BERSATU BERDISIPLIN
Logo ini berbentuk lima segi dan bulatan di luar melambangkan perpaduan pada keseluruhannya. Lima bulatan kecil berwarna biru melambangkan prinsip-prinsip Rukunnegara dan juga rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Segi lima yang berwarna merah melambangkan kerjasama, perpaduan dan disiplin rakyat yang bersama-sama menuju ke arah matlamat untuk memajukan negara. Matlamat tersebut dilambangkan oleh bulatan-bulatan yang berwarna biru, merah di tengah-tengah bentuk lima segi itu. Bulatan kecil kuning melambangkan kedaulatan raja dan memberikan makna taat setia rakyat terhadap pemerintahan beraja. Selaras dengan tema tahun ini, logo ini melambangkan rakyat Malaysia daripada berbagai-bagai keturunan dan daripada segenap lapisan masyarakat bersatupadu dan berdisiplin mematuhi amalan-amalan prinsip Rukunnegara dan dengan itu dapat menuju kearah kemakmuran dan keamanan.

No comments: