Saturday, September 6, 2008

LOGO DAN TEMA HARI KEMERDEKAAN 1990-1995




1990
BERJAYA
Konsep tema "BERJAYA" digambarkan melalui tiga kepala dan tiga tangan yang dilingkungi warna biru melambangkan rakyat Malaysia berbilang bangsa yang hidup bersatu demi mengekalkan perpaduan serta keamanan untuk memastikan kejayaan Malaysia seluruhnya. Warna kuning pada bulatan melambangkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang menjamin keutuhan dan kestabilan negara yang seterusnya akan menjamin kejayaan Malaysia . Jalur merah dan putih yang berbentuk tangan menjulang ke atas membawa erti kejayaan dalam pelbagai bidang kehidupan yang menjadi kehendak dan cita-cita negara yang tiada hadnya. Warna ini juga melambangkan konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang sentiasa menjadi asas pentadbiran negara. Warna biru yang menjadi latar belakang logo melambangkan keharmonian dan kestabilan negara.
BERJAYA

1991
WAWASAN 2020

Logo Hari Kebangsaan 1991 ini bertemakan Wawasan 2020. Anak panah yang terdiri daripada jalur-jalur merah, biru, putih dan kuning melambangkan azam dan tekad rakyat Malaysia yang bersatu padu menyokong usaha ke arah menjadikan negara ini sebuah negara maju. Bentuk segi tiga berwarna merah mencerminkan sokongan rakyat untuk melipatgandakan daya usaha pengeluaran agar tercapai hasrat tersebut. Bulatan biru, putih dan merah melambangkan perancangan dan pengawalan yang terakhir iaitu yang berteraskan nilai-nilai yang luhur dan murni dalam usaha mencapai wawasan 2020 (dua puluh dua puluh) itu.
1992
WAWASAN ASAS KEMAJUAN
Rekabentuk Logo adalah berasaskan huruf 'W' dan anak panah. Huruf 'W' merujuk kepada perkataan Wawasan dan tiga anak panah dalam huruf 'W' yang menuju ke atas melambangkan arah dan haluan Wawasan iaitu kemajuan ekonomi, sosial dan kerohanian masyarakat Malaysia dan negara di masa depan. Warna-warna merah, putih, biru dan kuning iaitu warna-warna Bendera Malaysia yang terdapat pada logo ini adalah sebagai lambang masyarakat berbilang kaum di negara ini yang hidup bersatupadu dan harmoni yang merupakan tunjang utama dalam memastikan kegiatan ekonomi dan sosial dapat bergerak cergas menuju ke arah matlamat yang dicita-citakan. Secara keseluruhannya, rekabentuk logo ini membawa maksud masyarakat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum hidup bersatupadu dan harmoni dalam sebuah negara yang stabil, aman dan makmur sentiasa berusaha dan bekerja keras untuk menjadikan Malaysia sebuah negara 'maju' di masa depan.
1993
BERSATU MENUJU WAWASAN
Rekabentuk: Bentuk hampir bulatan : Menggambarkan bersatupadu, bekerjasama, bersemangat setiakawan, berharmoni serta bercita-cita tinggi bagi mencapai wawasan. Warna: Merah dan putih : Melambangkan keberanian, kecekalan dan mempunyai semangat juang yang mantap dan gigih, kesucian, ketulusan, keikhlasan serta semangat untuk mencapai apa yang di wawasankan. Biru : Menggambarkan cita-cita setiap masyarakat Malaysia yang inginkan kemajuan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan yang berkekalan menerusi wawasan yang dicita-citakan. Kuning : Menggambarkan satu arah serta tujuan yang sama-sama dihasratkan bagi mencapai apa yang diinginkan. Secara keseluruhannya, rekabentuk dan warna-warna di atas melambangkan cita-cita yang tinggi serta perjuangan yang ikhlas lagi jujur bagi mencapai wawasan yang diidam-idamkan oleh setiap
1994
NILAI MURNI JAYAKAN WAWASAN
Tema: Nilai Murni Jayakan Wawasan Bentuk hati dan anak panah : Nilai murni, bukan hanya terletak pada tingkah laku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Warna putih pada bentuk 'hati kecil' melambangkan kebersihan dan kemuliaan hati dengan sifat nilai-nilai murni. Warna merah dan biru pada bentuk 'hati besar' melambangkan berbagai kaum dan lapisan masyarakat Malaysia. Warna kuning pada anak panah melambangkan matlamat dan hasrat masyarakat. Secara keseluruhannya rekabentuk logo dan warna-warnanya melambangkan nilai murni bukan hanya terletak pada tingkahlaku dan sikap fisikal sahaja tetapi terletak pada hati nurani seseorang itu. Hati membentuk seseorang itu berakhlak baik dan mulia. Segala perbuatan terletak pada niat di hati. Dengan memiliki nilai-nilai murni inilah masyarakat Malaysia menjayakan dan menuju wawasan 2020.
1995
JATIDIRI PENGERAK WAWASAN
Konsep Logo : Logo ini berkonsepkan bunga kebangsaan iaitu bunga raya. Keterangan Rekabentuk : Bentuk lima kelopak Bunga Raya ini dimaksudkan sebagai lima rangkaian prinsip Rukunnegara. Warna-warna merah, putih, kuning dan biru pada logo tersebut berasaskan warna-warna bendera Malaysia yang melambangkan rakyat Malaysia dari berbilang kaum, agama dan kebudayaan berusaha membentuk suatu jatidiri tersendiri. Warna putih pada garisan yang mengelilingi kelopak-kelopak bunga membawa maksud amalan nilai-nilai murni oleh rakyat Malaysia telah membentuk keharmonian rakyat. Warna kuning membawa maksud kedaulatan negara dan wawasan yang hendak dicapai. Warna merah membawa maksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian menempuh cabaran di dalam dan di luar negara. Warna biru membawa maksud rakyat Malaysia bertekad menjadikan negara ini sebuah negara yang maju, harmoni dan sejahtera. Secara keseluruhannya rekabentuk dan warna logo ini membawa maksud rakyat Malaysia berbilang kaum, agama dan kebudayaan hidup dalam negara yang berdaulat dan harmoni serta bersatupadu membentuk jatidiri kebanggaan negara demi menggerakkan Wawasan 2020.

No comments: